Diabetes Malaysia - click for home
 
  Diabetes Malaysia   | About Us | Join Us | Contact Us | Home |
Search: 
 
  Home » In The Press » 

What is Diabetes
Complications
Treatment
Living with Diabetes
Healthy Living
Weight Management
In The Press
Upcoming Events
Buyer's Guide
Interactive Corner
Useful Links
Glossary
About PDM
PDM Branches
Promotions
Permanent Activities
Donations
News and Updates
Featured Stories
Newsletter
Children with Diabetes
Questions Answered
Photo Gallery
Resources and Materials
PDM Council
Home
DECS
Diabetes Educators Compliance Support
 
arrow In The Press

Makan sihat, nikmati kehidupan

24 June 2008

Sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, Malaysia kaya dengan pelbagai masakan dan hidangan yang terdiri daripada lauk-pauk, kuih-muih dan manisan.

Selain hidangan tempatan, masyarakat di Malaysia juga ‘mewah’ untuk menikmati pelbagai hidangan dan sajian antarabangsa yang boleh didapati di mana-mana dan pada bila-bila masa.

Pilihan yang luas dan kemudahan mendapatkan makanan di luar rumah menjadikan sebahagian besar daripada kita menganggap tabiat makan atau menjamu selera adalah perkara biasa dan dipandang ringan.

Atas kesedaran untuk menyebarkan maklumat mengenai amalan pemakanan dan gaya hidup sihat, tiga pertubuhan iaitu Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM), Persatuan Dietetik Malaysia (MDA) dan Pusat Kajian Komuniti Malaysia (Maso) menganjurkan Bulan Pemakanan Malaysia (BPM) yang pertama pada tahun 2002.

Objektif penganjuran BPM ialah untuk mempromosikan pemakanan sihat bagi membantu rakyat menghadapi cabaran hidup zaman moden selain menangani masalah peningkatan penyakit kronik berkaitan diet.
Sejak itu, bulan April setiap tahun menyaksikan penganjuran BPM dan tahun ini kempen berkenaan mendapat penyertaan kali pertama beberapa syarikat swasta yang prihatin dan komited dalam membantu meningkatkan taraf kesihatan rakyat Malaysia.

Bertemakan ‘Makan Sihat, Nikmati Kehidupan’, BPM 2008 dilancarkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai di pusat membeli-belah Sunway Pyramid pada 12 April lalu.

Sebuah buku resipi dan panduan pemakanan sihat turut dilancarkan bagi memberi maklumat kepada orang ramai mengenai keperluan untuk gaya hidup sihat terutamanya dari segi penjagaan pemakanan dan pengurusan tekanan (stres) demi mencegah penyakit kronik.

Tiong Lai dalam ucapan perasmiannya berkata, jumlah daftar masuk di wad-wad semua jenis hospital di seluruh negara adalah agak tinggi pada masa ini iaitu tujuh daftar masuk wad bagi setiap 100 penduduk.
“Ini tidak bermakna bagi setiap 100 penduduk Malaysia, tujuh orang akan masuk wad kerana dalam tujuh daftar masuk itu ada yang melibatkan individu yang sama, sering sakit dan keluar masuk hospital.
“Selain jumlah daftar masuk wad yang tinggi, peruntukan kerajaan bagi tujuan perubatan juga semakin meningkat dari RM8 bilion pada tahun 2006, RM11 bilion pada tahun 2007 dan RM12.9 bilion pada tahun ini,” katanya.

Tambah Tiong Lai, satu lagi perkara yang agak membimbangkan ialah jumlah rakyat yang menghadapi masalah berat badan berlebihan dan obesiti yang semakin bertambah dari masa ke masa.
“Kajian pada tahun 1996 menunjukkan 16.6 peratus daripada penduduk dewasa di negara ini mengalami masalah berat badan berlebihan manakala 4.4 peratus penduduk dewasa adalah obes.

“Kajian susulan pada tahun 2006 pula mendapati peratus penduduk dewasa di negara ini yang mengalami masalah berat badan berlebihan ialah 29.1 peratus dan mereka yang obes pula meningkat 14 peratus.

“Berdasarkan kajian terakhir ini, 43.1 peratus daripada penduduk dewasa Malaysia tergolong dalam mereka yang mengalami masalah berat badan dan obes. Oleh itu, berkemungkinan besar pada hari ini peratusan berkenaan semakin meningkat dan menjadikan hampir 50 peratus atau separuh daripada penduduk dewasa negara ini mengalami masalah berat badan,” jelasnya.

Tambah Tiong Lai, penyakit jantung merupakan penyebab utama kematian di negara membangun seperti Malaysia dan negara lain di Asia.

“Pada tahun 2000, 20 peratus daripada kematian yang berlaku di kalangan lelaki dan wanita di negara ini disebabkan oleh sakit jantung sementara di dunia satu daripada setiap tiga kematian adalah kerana sakit jantung,” katanya.

Jelas Tiong Lai, peningkatan jumlah penduduk Malaysia yang obes akan meningkatkan jumlah pesakit kronik di Malaysia memandangkan lebih 90 peratus daripada mereka yang obes adalah penghidap diabetes.

“Pada tahun 1996, peratus mereka yang berusia lebih 30 tahun dan menghidap diabetes adalah 8.3 peratus. Namun, pada tahun 2006, peratusan ini meningkat kepada 14.9.

“Justeru, aspek-aspek tertentu dalam pemakanan seperti pemilihan makanan, cara memasak dan waktu makan adalah penting untuk memastikan berat badan dapat dikawal dengan baik sekali gus menjauhkan risiko pelbagai penyakit.

Menyumbang

“Warga yang sihat dapat menyumbang kepada produktiviti negara, sekali gus membantu pembangunan negara dan masyarakat di samping peruntukan untuk kos perubatan dapat disalurkan untuk meningkatkan kemudahan perubatan yang lain,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur BPM, Tee E Siong berkata, pemakanan yang sihat perlu diiringi dengan gaya hidup yang aktif, kesihatan sosial dan emosi yang baik serta pelbagai langkah penjagaan yang lain sebagai usaha untuk menjauhi penyakit.

“Saranan yang diberikan melalui kempen-
kempen sempena BPM akan membantu anggota masyarakat untuk hidup lebih sihat dan mempunyai daya tahan lebih tinggi dalam menghadapi cabaran hidup pada hari ini yang semakin sibuk dan mendedahkan kita kepada tekanan,” katanya.

Tambah E Siong, selain gaya hidup yang kurang aktif, salah faham dan maklumat yang kurang tepat mengenai pemakanan merupakan salah satu sebab yang menyumbang kepada meningkatnya masalah berat badan dan penyakit kronik di kalangan penduduk Malaysia.

“Masyarakat Malaysia kini semakin sibuk sehingga tidak peduli soal pemakanan dan kesihatan. Lebih memburukkan keadaan, mereka menganggap pengetahuan mengenai pemakanan dan gaya hidup sihat adalah sesuatu yang membosankan.

“Justeru, BPM 2008 melancarkan buku Panduan dan Resipi Makan Sihat, Nikmati Kehidupan dalam dua bahasa iaitu bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris yang mengandungi pelbagai maklumat pemakanan sihat, nasihat, tip dan resipi untuk rakyat Malaysia yang sentiasa sibuk,” katanya.

Antara aktiviti dan program yang dijalankan pada BPM 2008 ialah pemeriksaan percuma untuk berat badan, lemak badan, tekanan darah, glukosa dalam darah dan ujian kolesterol darah.

Turut diadakan ialah nasihat berhubung amalan pemakanan daripada pakar pemakanan dan diet bagi membantu orang ramai memilih dan menikmati makanan yang lebih sihat setiap hari bagi mendapatkan kesihatan yang lebih baik.


Sumber: Utusan, 20 April 2008

Untuk bacaan lanjut, sila klik www.utusan.com.my


  printer Printer-friendly version   printer Send link to a friend

 
   
| | | |
© Copyright Diabetes Malaysia 2007 - 2013    All rights reserved.